Thursday, 7 April 2016

Tempoh Harus Solat Musafir ..


Soalan;

saya ada mendengar bahawa bagi musafir,mereka dibenarkan utk Jamak & Qasar selama 3 hari berturut-turut.Adakah ini benar?Contoh yang saya buat berdasarkan kefahaman ini spt berikut:Saya ke Kedah hari ini.Zohor & Asar saya Jamak Taqdim.Begitu juga Maghrib & Isyak.Saya kira hari ini ialah "travelling day / hari musafir".Utk 3 hari seterusnya (Selasa,Rabu,Khamis),saya solat Jamak & Qasar bagi kesemua solat yg dibnarkan.Pada hari Jumaat,saya balik KL & lakukan Jamak Qasar bagi Jumaat & Asar. Minta komen & penjelasan ..

Jawapan;

Solat musafir (yakni jama’ dan qasar) diharuskan selagi seseorang itu berada dalam musafir (perjalanan). Jika ia berhenti di satu tempat, sekiranya ia berniat untuk tinggal di situ 4 hari atau lebih (tidak termasuk hari masuk dan hari keluar), tamat musafirnya dan tidak harus lagi ia solat musafir (jamak dan qasar) hinggalah hari ia keluar dari situ. Itu adalah mengikut pandangan jumhur ulamak (merangkumi mazhab Syafi’ie, Malik dan Ahmad). Adapun mazhab Imam Abu Hanifah; tamat musafirnya jika berniat tinggal 15 hari atau lebih.

Sekiranya ia berhenti di satu tempat untuk suatu urusan dan ia tidak berniat untuk tinggal di situ beberapa hari tertentu, akan tetapi bergantung kepada urusannya, iaitu sebaik sahaja selesai urusannya ia akan keluar dari situ, harus baginya solat musafir di situ selama 18 hari mengikut mazhab Syafi’ie (yakni selepas 18 hari tidak harus lagi ia solar musafir walaupun urusannya belum selesai). Menurut mazhab Imam Abu Hanifah, Malik dan Ahmad; harus ia solat musafir selagi urusannya belum selesai sekalipun memakan masa bertahun.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

Fiqh al-Ibadat, Syeikh Hasan Ayyub, hlm. 271.

0 comments:

Post a Comment